Kejadian tanah runtuh
merujuk kejadian phenomena alam semula jadi yang sering dikaitkan dengan
perubahan kedudukan tanah sesuatu kawasan itu. Antara contoh kawasan yang
sering dilanda tanah runtuh ialah lereng bukit, kawasan projek perumahan dan
juga kawasan berhampiran dengan aliran air seperti sungai. Media massa sering
mengetengahkan kejadian alam ini sehingga menjadikan kejadian ini sesuatu yang
biasa pula di negara ini. Oleh itu, kefahaman tentang pelbagai punca dan impak
kejadian ini amat penting untuk menangani kemelut alam sekitar ini.
Secara amnya kejadian tanah
runtuh berpunca dari projek pembangunan yang tidak seimbang kerana keghairahan
manusia mengejar erti kemodenan sebenar. Pembangunan yang tidak seimbang ini
sering mengabaikan pengekalan alam sekitar terutama hutan atau penggunaan alam
sekitar dalam sesuatu projek pembangunan tersebut. Keadaan ini telah
menyebabkan hujan lebat sahaja berupaya untuk mencetus kejadian tanah runtuh di
sesuatu kawasan pembangunan tersebut. Jadi, tanah runtuh berlaku kerana
ketiadaaan keseimbangan antara projek pembangunan dan sistem ekologinya.
Selain itu, ketiadaan
peruntukan perundangan yang menyeluruh turut menjadikan isu ini semakin
meruncing. Masyarakat dengan mudah lagi berani melakukan projek pembangunan
sesuka hati kerana sedar bahawa mereka tidak akan didakwa oleh pihak kerajaan
kerana ketiadaan akta yang mampu untuk digunakan terhadap kesalahan mereka itu.
Kelemahan dalam system perundangan inilah yang menyebabkan masalah ini terus
berlaku tanpa ada sebarang perasaan bersalah dalam jiwa masyarakat kita.
Jelaslah, ketiadaan peruntukan perundangan yang holistik dan ketat telah
membawa masalah ini terus menerus berlaku dalam masyarakat kita.
Selain daripada ketiadaan
keseimbangan pembangunan dan kelemahan dalam sistem perundangan dan tambahan
pula kekurangan dalam kemahiran menarah sistem bukit di negara ini turut
menjadikan polemik ini semakin serius. Kita masih menggunakan sistem tarahan
kawasan berbukit yang lama kerana kekurangan kemahiran atau pengalaman dalam
kalangan jurutera tempatan di negara ini. Situasi ini menyebabkan bukit yang
digondolkan itu mudah sahaja mengalami kejadian tanah runtuh setiap kali hujan
lebat melanda.
Namun, impak yang timbul
daripada kejadian alam ini begitu menakutkan terutama pertambahan dalam
bilangan mangsa korban kejadian ini. Saban tahun ada sahaja nyawa insan yang
tidak bersalah akan hilang bersama-sama runtuhan tanah tersebut walaupun mereka
tidak bersalah dalam hal ini. Kehilangan nyawa ini seolah-olah tidak mendapatkan
perhatian semua pihak sehingga hanya komen-komen biasa kedengaran setiap kali
sesuatu malapetaka melanda negara ini. Justeru, tanah runtuh yang berlaku telah
menyebabkan negara ini kehilangan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.
Malah, kemusnahan harta
benda turut berlaku yang menyebabkan kerugian berjuta ringgit setiap tahun
begitu sahaja. Biasanya kerugian ini berlaku akibat kemusnahan harta benda
terutama rumah, bangunan, dan juga kemudahan awam terutama jalan raya.
Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan pula sejumlah wang yang banyak untuk
membina semula kemudahan ini atau memberikan bayaran pampasan kepada
mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh.
Kesimpulannya, kejadian
tanah runtuh telah menjadikan imej negara ini terjejas dengan teruknya! Lantaran
itu, kerjasama semua pihak terutama pihak pemaju perumahan amat diperlukan agar
tidak membina projek mereka di kawasan yang berisiko tinggi seperti kawasan
berbukit. Ketiadaan kerjasama atau kedegilan pihak-pihak tertentulah yang
menyebabkan masalah ini sukar untuk dikekang oleh kerajaan kita. Bak kata orang
tua-tua, “nasi sudah menjadi bubur” yang mengingatkan kita bahawa semua yang
berlaku sudah terlewat untuk dikesali kecuali kita sedar lalu bertindak
mengatasinya dengan lebih awal.